Jumaat, April 10, 2009

POLIGAMI???

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Syukur ke hadhirat ILAHI, selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallah Alaihi Wa Salam serta keluarga

Dari
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين , أما بعد

Keadilan yang dituntut di dalam Islam tidak semata-mata di dalam poligami semata-mata, bahkan meliputi semua perkara. Sama ada kepada diri sendiri, masyarakat, Negara dan pada Tuhan pencipta itu sendiri. Tuntutan berlaku adil dan tidak menzalimi mendapat panduan khusus daripada Al-Quran dan Hadis Nabi.

PANDUAN AL-QURAN

Firman Allah Taala di dalam surah Al-Maidah ayat 8:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang Yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan.

Firman Allah Taala lagi di dalam surah An-Nisa’ ayat 135:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَى أَنْفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالأقْرَبِينَ إِنْ يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقِيرًا فَاللَّهُ أَوْلَى بِهِمَا فَلا تَتَّبِعُوا الْهَوَى أَنْ تَعْدِلُوا وَإِنْ تَلْوُوا أَوْ تُعْرِضُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman! hendaklah kamu menjadi orang-orang Yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi Yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan.

ANCAMAN DARIPADA HADIS

Ancaman daripada baginda kepada lelaki yang tidak mampu adil kepada isteri-isterinya yang di poligami sebagai sabdanya:
إذا كََان عند الرجل امرأتان ، فلم يعدل بينهما ، جاء يوم القيامة ، وشقه ساقط

Maksudnya: Mana-mana lelaki yang mempunyai dua orang isteri dan dia tidak berlaku adil kepada keduanya. Maka dia akan hadir pada hari Kiamat dengan bahunya senget sebelah. (Tirmidzi, Abu Daud, Nasaie, Ibn Majah dan Darimi)

Pada riwayat yang lain:

ومن كان له امرأتان فلم يعدل بينهما في القسم من نفسه ، وماله ، جاء يوم القيامة مغلولا ، مائلا شقه ، حتى يدخل النار

Maksudnya: Mana-mana lelaki yang mempunyai dua orang isteri dan dia tidak berlaku adil kepada keduanya pada pembahagian (tidur di rumah isteri-isteri). Maka dia akan hadir pada hari Kiamat dengan dibelenggu, bahunya senget sebelah diseret ke dalam neraka.

Kebenaran Allah kepada mana lelaki yang ingin berpoligami adalah dengan syarat MAMPU ADIL. Jika tidak mampu cukup memadai dengan seorang isteri.

Firman Allah Taala di dalam surah an- Nisa’ ayat 3:

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلا تُقْسِطُوا فِي الْيَتَامَى فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلاثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ذَلِكَ أَدْنَى أَلا تَعُولُوا

Maksudnya: Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin Dengan mereka), maka berkahwinlah Dengan sesiapa Yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan Yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

Firman Allah ini tidak bermaksud dibenarkan berlaku zalim jika hanya beristeri satu. Bahkan kewajipan untuk bersikap adil tidak terlepas daripada tanggungjawab suami dan isteri. Keadilan dengan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami dan melunaskan sebaik mungkin tanggungjawab sebagai seorang isteri.

ERTI KEADILAN DALAM BERPOLIGAMI

Bagi seorang Mukmin/Mukminah sama sekali tidak akan mempertikai keadilan sistem yang Allah Taala tetapkan. Kesemua kita beriman mengatakan sistem, tatacara, undang-undang dan kaedah yang diatur oleh Allah untuk manusia adalah yang terbaik serta melampau zaman dan masa. Segala ketetapan hukum hakam Allah akan dijunjung bagi mereka yang masih ada iman di dalam hati.

Perkara yang sentiasa menjadi perselisihan di dalam perkara ini apabila sesetengah masyarakat mengatakan erti keadilan adalah menyamaratakan perasaan antara semua isteri. Sebahagian lain mengatakan keadilan pada nafkah dan pakaian. Sebahagian lagi berpendapat kepada bilangan hari yang dibahagi sama rata di antara isteri. Di sini merupakan punca masalah pertikaian yang menjadi perdebatan sesama masyarakat.

Jalan penyelesaian yang akan diambil oleh setiap mereka yang beriman apabila ditimpa dengan masalah, menjadikan Allah dan Rasul sebagai rujukan dan berpuas hati dengan segala ketetapan Al-Quran. Terdapat seribu satu hikmah daripada situ sama ada kita sedari ataupun tidak.

Firman Allah Taala di dalam surah an-Nisa ayat 59:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلا

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Firman Allah lagi di dalam surah an-Nisa’ ayat 65:

فَلا وَرَبِّكَ لا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: Maka Demi Tuhanmu (Wahai Muhammad)! mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan Engkau hakim Dalam mana-mana perselisihan Yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa Yang telah Engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu Dengan sepenuhnya.

Allah tidak menjadikan keadilan perasaan itu sebagai prasyarat untuk dibenarkan berpoligami. Bahkan Allah menegaskan keinginan menyamaratakan perasaan merupakan perkara yang mustahil untuk dilakukan.

Firman Allah Taala di dalam surah an-Nisa’ ayat 129:

وَلَنْ تَسْتَطِيعُوا أَنْ تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ فَلا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ وَإِنْ تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَحِيمًا

Maksudnya: Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung Dengan melampau (berat sebelah kepada isteri Yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri Yang lain seperti benda Yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (Keadaan Yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan Yang zalim), maka Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Ayat ini membawa maksud keadilan pada sudut hati dan perasaan. Juga Firman ini dikuatkan dengan hadis baginda Nabi:

كان يقسم بين نسائه فيعدل ويقول اللهم هذا قسمي فيما أملك فلا تلمني فيما تملك ولا أملك

Maksudnya: Baginda menyamaratakan pembahagian tidur setiap malam sesama isteri-isteri baginda lalu baginda berdoa. Ya Allah, ini pembahagian ku pada apa yang aku miliki, janganlah Engkau mengazab ku pada perkara yang engkau milikku, tidak aku miliki (perasaan melebihkan sebahagian isteri daripada yang lain).

KESIMPULAN

Maka dapat disimpulkan di sini erti keadilan dalam berpoligami ialah:

1) Membahagikan tidur malam kepada isteri-isteri sama rata; Bermula tidur mengikut perkiraan syarak ialah daripada waktu solat maghrib sehingga waktu solat subuh. Pembahagian siang tidak diwajibkan sesama isteri ke atas suami. Siang ialah waktu bekerja, dipersilakan suami untuk ke mana sahaja untuk mencari rezeki. Jika suami bekerja malam, maka wajib berada di dalam pengetahuan isterinya yang digilirkan jika dia akan terlewat pulang. Ini hak isteri yang diberikan syarak.

2) Kebendaan; Bukan suatu keadilan jika diberikan wang sama banyak. Itu tidak diertikan sebagai keadilan. Keadilan yang sebenar adalah apa yang mencukupi keperluan isteri-isteri. Jika isteri pertama mempunyai anak 2 orang dan isteri kedua belum mempunyai anak. Logik dan adil sekali wang yang diserahkan kepada isteri pertama lebih banyak. Ini antara masalah yang terkeliru sebahagian masyarakat. Isteri pertama mempunyai anak lelaki dan adapun isteri kedua mempunyai anak perempuan. Adakah dikatakan adil jika kedua-dua anak tersebut diberi pakaian yang serupa sedangkan berlainan jantina, umur dan minat?!

Mana-mana suami yang melengkapi dua perkara tersebut, maka telah melaksanakan keadilan.

NASIHAT BERHARGA

Kebanyakan para wanita tidak boleh menerima apa yang dikatakan poligami. Ini kerana perkahwinan merupakan satu ikatan terbina daripada perasaan dan poligami serba sedikit menggoncang perasaan ini. Kesannya menjadikan wanita-wanita yang tidak beriman mempertikai satu hukum yang ditetapkan oleh Allah Taala. Adapun yang masih subur imannya, akur dengan ketetapan tetapi tidak akan menyokong.

Wahai saudari benteng agama! Agama ini bukan semata-mata demi meraikan perasaan. Bahkan terdapat perkara yang lebih besar daripada itu. Tugas sebagai khalifah Allah di muka bumi hanya sementara demi hasil yang akan dipungut di akhirat.

Statistik dunia mendapati wanita semakin ramai daripada lelaki iaitu 2:1. Cuba kita berbicara secara logik. Jika tidak dibenarkan poligami, siapakah suami kepada baki-baki wanita yang daripada jenis kalian juga. Apakah dibiarkan berpelesiran, berzina, tanpa suami dan zuriat sehingga mati, hidup tanpa lelaki yang berada di sisi dan dan dan ....

Allah yang melemparkan perasaan cemburu di dalam hati kalian dan Allah juga yang memberikan ketetapan hukum berkenaan poligami. Kenapa kita tidak cuba mencari hikmah yang cuba ditunjukkan oleh Maha Pencipta daripada menurutkan perasaan yang cuba menyesatkan.


Ucapan ini tidak bermaksud satu sokongan padu kepada poligami kerana sebagaimana kita perlu menentang golongan yang menentang poligami begitu juga kita akan menentang golongan yang ingin berpoligami tetapi tidak mampu adil. Ingin berkahwin tetapi isteri dan anak-anak tidak mampu di didik dengan didikan agama yang sempurna. Ingin poligami tetapi tidak lebih melainkan ikutkan hawa nafsu semata-mata. Golongan sebegini tidak kita bicarakan di ruangan ini, kerana persoalan berkenaan keadilan poligami pada wanita serta keperluannya.

Akhirnya, poligami bukannya metode yang mampu diguna pakai oleh semua lelaki dan juga tidak boleh dihalang semua lelaki untuk menggunakannya. Firman Allah terlalu jelas berhubung perkara ini.



Allahu A’lam.

Disediakan
Muhammad Aidil Azwal

0 ulasan: