Khamis, Mac 26, 2009

Larangan Melepak



Hadis: Larangan melepak

Dari Thalhah r.a. katanya: Pada suatu ketika, kami sedang duduk-duduk dan bercakap-cakap di jalanan. Rasulullah SAW mendatangi kami seraya bersabda, “Apa kerja kalian duduk-duduk di jalanan? Jauhilah duduk-duduk di jalanan!” Jawab kami, “Kami hanya sekadar duduk-duduk dan bercakap-cakap.” Sabda baginda, “Kalau begitu, bayar hak jalanan iaitu picingkan mata, jawab salam dan berbicaralah yang berguna (baik)!” (Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abu Sai’d Al-Khudri r.a. dari Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Hindarilah daripada duduk-duduk di pinggir jalan!” Jawab para sahabat, “Kami terpaksa duduk-duduk di situ membincangkan hal-hal yang perlu.” Sabda Rasulullah SAW, “Jika memang perlu kalian duduk-duduk di situ berikan hak jalanan.” Mereka bertanya, “Apa haknya, ya Rasulullah?” Jawab baginda, “Tundukkan pandangan, jangan mengganggu, jawab salam (orang yang lalu) menganjurkan kebaikan dan mencegah yang mungkar.” (Hadis Riwayat Muslim)

Huraian

Mengikut Kamus Dewan, melepak memberi makna tentang satu tabiat yang negatif di kalangan masyarakat seperti di kalangan remaja dan dewasa yang menghabiskan masa dengan duduk-duduk tanpa melakukan kegiatan yang berfaedah. Pada peringkat awalnya kegiatan ini merupakan budaya yang dilakukan oleh kutu-kutu jalanan.

Melepak yang bertujuan untuk kebaikan seperti untuk berbual tentang perkara yang bermanfaat adalah dibenarkan dalam Islam tetapi mestilah tidak sampai menghalang orang yang lalu-lalang dan membuat sesuatu yang menyakitkan masyarakat sekeliling seperti membuat bising, mengata-ngata orang, mengusik dan sebagainya kerana sedemikian sudah terkeluar daripada adab-adab dalam bersosial.

Setiap muslim seharusnya menjauhi perbuatan yang melalaikan kerana Islam amat membenci perkara yang menggambarkan sikap orang yang suka membuang masa.

0 ulasan: